FAKTA MENGENAI JERAWAT YANG ANDA PERLU TAHU

Jerawat adalah perkara yang lumrah dalam kehidupan, namun pengalaman yang dilalui oleh setiap orang mungkin berbeza. Ia boleh mendatangkan trauma, terutamanya apabila jerawat yang tumbuh itu menyakitkan, berlanjutan dan meninggalkan kesan serta parut yang ketara. Dalam era moden ini, maklumat yang tersedia sungguh banyak sehinggakan sukar bagi kita untuk menentukan punca sebenar jerawat.

APAKAH FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB JERAWAT?

SEJARAH KELUARGA
Genetik adalah salah satu faktor utama yang menentukan kecenderungan untuk mengalami kulit berjerawat. Jika kedua-dua ibu dan bapa pernah mengalami masalah jerawat, besar kemungkinan anak-anak mereka juga akan berhadapan dengan masalah yang sama.

HORMON
Perubahan hormon telah dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya jerawat dalam kalangan remaja. Wanita juga mungkin mengalami jerawat disebabkan perubahan hormon semasa kehamilan dan menopaus.

BAKTERIA
Propionibacterium acnes adalah sejenis bakteria yang dijumpai pada kulit kebanyakan individu. Dalam keadaan yang normal, bakteria ini tidak membawa sebarang kemudaratan. Namun, apabila minyak dan sel-sel kulit mati terperangkap di dalam folikel rambut, bakteria ini akan membiak dengan pantas hingga menyebabkan keradangan folikel rambut yang merebak ke tisu-tisu berdekatan.

UBAT-UBATAN
Ubat-ubat tertentu, contohnya ubat yang mengandungi androgen, kortikosteroid atau litium, boleh mengganggu hormon dan seterusnya mencetuskan masalah jerawat.

GESERAN
Geseran yang kerap mengganggu kulit, contohnya kolar baju yang ketat, helaian rambut yang diselaputi produk penggayaan rambut dan sentiasa bergesel dengan kulit dahi, atau set fon telinga yang dipakai semasa bekerja, boleh menyebabkan kerengsaan yang berpotensi menggalakkan pertumbuhan jerawat.

BAGAIMANAKAH JERAWAT TERBENTUK?

Sebum, atau minyak pada kulit, dihasilkan secara berterusan oleh kelenjar sebum yang kebanyakannya terletak pada muka dan kulit kepala. Jika bahan berminyak ini dihasilkan dalam kuantiti yang berlebihan, ia akan terperangkap di dalam folikel rambut. Situasi ini biasanya berlaku apabila lapisan kulit paling luar menebal secara tidak normal dalam proses yang dikenali sebagai hiperkeratosis.

Sekiranya sel-sel kulit yang tebal dan keras ini tidak tertanggal dengan secukupnya dalam tempoh masa yang dijangka, sebum berlebihan akan terperangkap di dalam folikel rambut dan menyumbat pori. Jika keadaan ini berlaku pada lapisan kulit yang lebih dalam, ia akan menyebabkan komedon tertutup atau bintik putih (whitehead). Sebaliknya, jika keadaan ini berlaku lebih hampir pada permukaan kulit, ia dipanggil komedon terbuka atau bintik hitam (blackhead).

Folikel yang tersumbat merupakan persekitaran yang ideal untuk pembiakan bakteria propionibacterium acnes. Jangkitan ini disusuli dengan keradangan dan pertumbuhan jerawat yang merah dan menyakitkan seperti papul (bengkak dengan nanah) atau pustul (bengkak tanpa nanah), serta sista dan nodul. Keadaan ini dialami pada tahap yang berbeza-beza daripada ringan hingga sederhana atau teruk. Malah, jerawat juga boleh muncul pada bahagian dada, belakang badan, leher dan bahu.

MITOS POPULAR MENGENAI JERAWAT

“JERAWAT BERLAKU DISEBABKAN PENJAGAAN KEBERSIHAN YANG TIDAK MEMUASKAN. INI BERMAKNA KULIT PERLU DIBERSIHKAN DENGAN LEBIH KERAP”

Amalan membersihkan muka dengan terlalu kerap akan menjejaskan lapisan perlindungan kulit, seterusnya mendedahkan kulit kepada kerengsaan dan keradangan. Penggunaan skrub juga sebenarnya berpotensi memudaratkan kulit dengan menyebabkan kesan-kesan calar halus pada permukaan kulit berjerawat yang menggalakkan penyebaran bakteria daripada lokasi jerawat aktif.

“UBAT GIGI BERKESAN UNTUK MENGECUTKAN JERAWAT”

Walaupun rasa dingin ubat gigi pudina boleh melegakan kerengsaan jerawat, ubat gigi sebenarnya tidak mengandungi ciri-ciri penyembuhan yang membantu menghilangkan cela kulit. Selain itu, agen penghasil buih dalam rumusan ubat gigi, sodium lauryl sulphate, boleh menggalakkan penyejatan air melalui epidermis, seterusnya mengeringkan kulit dan menyebabkannya lebih terdedah kepada keradangan.

“MAKANAN BERMINYAK BOLEH MENYEBABKAN JERAWAT”

Banyak kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan berminyak sebenarnya tidak memberi kesan terhadap tahap sebum yang dihasilkan oleh kulit. Berbanding makanan bergoreng dan berminyak, makanan tinggi indeks glisemik sebenarnya menyumbang kepada pertumbuhan jerawat dengan meningkatkan penghasilan sebum.

“KULIT BERJERAWAT TIDAK PERLUKAN PELEMBAP”

Tanggapan bahawa jerawat boleh sembuh dengan cara mengeringkannya sering membuatkan kita terfikir bahawa penggunaan pelembap akan menyebabkan keadaan kulit menjadi lebih teruk. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa pilihan pelembap yang betul sebenarnya mampu memberi kesan terapeutik pada kulit, membantu kulit menyimpan lembapan, melegakan kerengsaan kulit, mengurangkan kegatalan dan seterusnya menyekat keinginan untuk memicit jerawat.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBURUKKAN MASALAH JERAWAT

Terdapat banyak faktor persekitaran yang boleh menyebabkan masalah sedia ada bertambah buruk. Antaranya ialah bahan solek yang menyumbat pori, produk penjagaan kulit yang tidak sesuai, iklim, merokok, tekanan, serta makanan tinggi indeks glisemik. Contoh-contoh makanan sebegini ialah karbohidrat ringkas seperti nasi putih, kentang, roti putih, pasta dan makanan tinggi gula.

IMPAK JERAWAT TERHADAP KESIHATAN EMOSI

Jerawat boleh memberikan tamparan hebat terhadap keyakinan diri individu, tanpa mengira sama ada remaja atau dewasa. Walau apa jua peringkat umur, masalah ini pasti lebih mencabar sekiranya jerawat yang tumbuh itu menyakitkan, dialami secara berterusan dan meninggalkan parut yang ketara. Sebagai contoh, ramai orang yang mengalami masalah muka berjerawat enggan meninggalkan rumah tanpa memakai mekap yang tebal. Mereka berasa seolah-olah buntu dan keadaan ini bertambah buruk apabila rakan-rakan dan juga orang asing gemar memberi komen atau menawarkan nasihat yang tidak membantu. Malangnya, ramai orang gemar mencuba rawatan yang tidak serasi hingga menyebabkan kulit menjadi lebih teruk dan mencetuskan kitaran jerawat yang dahsyat.

PRODUK YANG DISYORKAN