APAKAH YANG DIJANGKAKAN SELEPAS BERLAKUNYA JERAWAT?

Jerawat sememangnya tidak menyenangkan, namun akibatnya ternyata lebih perit untuk ditanggung. Apabila folikel yang tersumbat akhirnya ‘meletus’ sebagai jerawat setelah berminggu-minggu terpendam, keruping kering biasanya akan muncul dengan kesan atau parut yang ketara.
Kesan yang anda alami ini bergantung pada jenis jerawat, kedalaman jerawat dan tahap keradangan yang berlaku. Jerawat yang tidak bersifat keradangan, contohnya komedon terbuka dan tertutup, atau bintik putih (whitehead) dan bintik hitam (blackhead), tidak akan meninggalkan kesan yang ketara sekiranya ditangani dengan cara yang betul. Ini berbeza dengan pustul dan nodul jerawat yang lebih dalam dan berkemungkinan membentuk parut yang lebih besar.

APA ITU PARUT?

Parut jerawat terdiri daripada tisu-tisu berserat yang menggantikan sel-sel kulit normal selepas berlakunya kecederaan pada kulit. Keradangan yang teruk dan sista (seumpama bisul) jerawat boleh mengakibatkan kecederaan sebegini. Jalinan kolagen di kawasan terbabit juga akan terjejas, seterusnya menyebabkan penghasilan tisu yang lebih tebal dan keras berbanding sebelumnya. Lazimnya, parut jerawat dikaitkan dengan perubahan tekstur kulit dan hanya kadangkala melibatkan perubahan warna.

JENIS-JENIS PARUT JERAWAT

JENIS-JENIS PARUT JERAWAT

Jerawat yang bersifat keradangan seperti papul, pustul serta sista dan nodul yang mengalami keradangan teruk boleh menghasilkan pelbagai bentuk parut: sama ada tenggelam atau timbul. Parut jerawat yang tenggelam kelihatan berlubang-lubang dan berlaku disebabkan kehilangan kolagen di kawasan kecederaan. Ia boleh dibahagikan kepada kategori berikut:

Parut berduri: kelihatan seperti liang pori yang sempit dan dalam, meliputi kawasan yang luas
Parut berbukit: kawah berombak yang lebar dengan sisi bercerun
Parut berkotak: kawah yang luas dengan sisi bersegi
Parut atrofi: mungkin kelihatan sebagai parut tenggelam atau parut yang cetek, nipis dan rata

JENIS-JENIS PARUT JERAWAT

Parut jerawat yang timbul pula kelihatan lebih tebal berbanding kulit di sekelilingnya. Ia berlaku disebabkan pengumpulan kolagen secara berlebihan di kawasan kecederaan. Parut ini terdiri daripada jenis hipertrofi atau keloid. Parut hipertrofi lebih kerap terjadi disebabkan jerawat, manakala parut keloid berwarna ungu kemerahan pula jarang-jarang dikaitkan dengan jerawat.

PERUBAHAN WARNA KULIT AKIBAT JERAWAT

Walaupun kesan jerawat tidak meninggalkan parut yang tebal, ia mungkin menyebabkan perubahan warna kulit. Secara purata, kulit lazimnya mengambil masa 3 hingga 24 bulan untuk sembuh dengan sendirinya. Berikut adalah tiga jenis perubahan warna yang mungkin berlaku selepas episod jerawat:

Hiperpigmentasi yang menyusul selepas keradangan: kesan perang gelap
Hipopigmentasi yang menyusul selepas keradangan: kesan putih pudar
Eritema yang menyusul selepas keradangan: kesan merah jambu atau ungu

MENGAPA PARUT JERAWAT DIANGGAP SEBAGAI TISU YANG TIDAK SIHAT?

MENGAPA PARUT JERAWAT DIANGGAP SEBAGAI TISU YANG TIDAK SIHAT?

Selain kelihatan berbeza daripada kawasan di sekitarnya, tisu parut tidak berinteraksi atau bertindak balas dengan persekitarannya seperti kulit biasa. Rambut tidak boleh tumbuh pada parut, manakala kelenjar minyak dan peluh juga tidak berfungsi. Parut jerawat sering menggelupas dan kering kerana ia tidak menyerap lembapan dengan cara yang sama seperti kulit biasa.

MITOS DAN HAKIKAT SEBENAR MENGENAI PARUT JERAWAT

“PARUT JERAWAT TIDAK AKAN HILANG BUAT SELAMA-LAMANYA, ATAU SEMUA PARUT JERAWAT PASTI BOLEH HILANG”

Kita sering kali mendengar kedua-dua mitos ini, namun hakikatnya, parut jerawat boleh dirawat. Kebanyakan parut jerawat yang ringan hingga sederhana boleh sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, parut jerawat yang sangat teruk dan dialami secara berterusan untuk tempoh yang lama mungkin sukar untuk pulih dengan sepenuhnya, walaupun dengan penggunaan rawatan klinikal yang intensif.

“PARUT JERAWAT TIDAK BOLEH DICEGAH”

Anda mungkin terfikir bahawa apabila jerawat muncul pada kulit anda, ia pasti akan meninggalkan parut. Ini tidak benar. Masyarakat umum mengetahui bahawa memicit jerawat dengan cara yang tidak betul dan penyebaran bakteria boleh menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap kulit yang sudah pun tercedera. Namun begitu, keradangan adalah faktor utama yang menentukan tahap keterukan parut, dan ia boleh dikurangkan dengan mengambil makanan rendah indeks glisemik, mengamalkan pengambilan multivitamin dengan zink, dan menggunakan produk pelindung matahari untuk melindungi kulit daripada sinaran UV.

“ANDA PERLUKAN PEMBEDAHAN KOSMETIK UNTUK MENGHILANGKAN PARUT JERAWAT”

Sebenarnya, terdapat banyak produk yang boleh anda gunakan di rumah untuk merawat parut jerawat. Formula yang mengandungi asid tertentu biasanya digunakan untuk menggalakkan penjanaan semula sel kulit. Selain itu, bukan semua rawatan di klinik bersifat invasif. Rawatan laser, dermabrasi dan pengelupasan kimia sering ditawarkan oleh pakar kulit dan ia tidak melibatkan tempoh penyembuhan yang panjang.

“MEMICIT JERAWAT ADALAH CARA TERBAIK, ATAU SAMA SEKALI TIDAK DIBENARKAN”

Bertentangan dengan kepercayaan ramai, memicit jerawat sebenarnya adalah kaedah yang selamat. Malah, jika dilakukan dengan betul, memicit jerawat dapat mengurangkan kesakitan dan menghentikan penyebaran jangkitan, seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan. Ia juga boleh mengurangkan risiko kemunculan parut jerawat. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat pakar kulit atau pakar aestetik yang berpengalaman untuk melakukannya. Teknik memicit yang tidak sesuai, terutamanya apabila jerawat belum masak atau belum berada dekat dengan permukaan kulit, akan menerukkan keradangan, mengakibatkan pendarahan dan yang pastinya, mengakibatkan lebih banyak parut jerawat.

KESAN PARUT JERAWAT TERHADAP EMOSI

Tidak dapat disangkal lagi, perasaan malu dan susah hati sering dikaitkan dengan masalah parut jerawat. Ia memberi impak yang lebih besar terhadap remaja dan belia, kerana pada peringkat umur inilah mereka lebih banyak bergaul dan menjalinkan hubungan peribadi. Walaupun kulit yang mudah berjerawat lebih sukar untuk dijaga, dan tiada sesiapa yang harus dipersalahkan sekiranya parut jerawat berlaku, hakikat ini mungkin tidak dapat diterima oleh kebanyakan orang. Penjagaan yang sewajarnya selepas episod jerawat dapat membantu mengubah tanggapan seseorang terhadap dirinya dan seterusnya meningkatkan keyakinan individu.

PRODUK YANG DISYORKAN