My Skin, My Confidence – Utusan Malaysia

Parut Jerawat Gugat Keyakinan

Wajah yang bersih, mulus dan bebas jerawat sememangnya menjadi idaman setiap gadis bahkan juga kepada lelaki yang mula mengutamakan kecantikan diri. Ini kerana wajah mencerminkan keperibadian diri ketika berhadapan dengan khalayak terutama bagi mereka yang bekerjaya dan perlu berurusan dengan orang ramai setiap hari.
Namun, masalah jerawat yang dihidapi sama ada di wajah atau di badan menggugat keyakinan kirakira 85 peratus individu di Malaysia yang berusia 12 hingga 24 tahun disebabkan pelbagai faktor.

Menurut Perunding Dermatologi Medi-I Skin Studio, Dr. Lim Ing Kien, tanpa penjagaan dan rawatan yang betul, kulit berjerawat boleh menjadi sesuatu yang serius sehingga menyebabkan keradangan dan seterusnya menyebabkan parut kekal.
“Apabila bercakap mengenai masalah kesihatan berkaitan kulit, antara yang paling kerap diutarakan ialah jerawat yang lazimnya berlaku di wajah, dada, dan belakang badan.

“Punca jerawat boleh disebabkan pelbagai faktor namun faktor hormon adalah penyebab utama selain pemakanan, tekanan, umur, genetik, kesilapan memilih produk kosmetik serta persekitaran yang panas lembap serta kotor,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran kempen My Skin, My Confidence yang dianjurkan oleh Hiruscar, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ujarnya, jerawat terjadi apabila kelenjar sebaceous yang merupakan kelenjar pengeluar cecair berminyak di dalam folikel kulit yang berfungsi melembapkan kulit mengeluarkan minyak yang keterlaluan. Disebabkan pengeluaran yang terlalu banyak, berlaku sekatan pada liang roma kulit terutamanya kepada mereka yang baru melalui usia akil baligh.
Katanya, kulit individu yang berjerawat menghasilkan terlalu banyak sebum, lalu membentuk plak dengan sel-sel kulit mati dan folikel menjadi tersumbat.

Jika folikel yang tersumbat berada amat dekat dengan permukaan kulit, akan membentuk bintik putih (whitehead) dan jika plak menutupi permukaan atas folikel, akan ‘membuka’ permukaan kulit lalu membentuk bintik hitam (blackhead).
“Bakteria yang hidup di kulit dan biasanya tidak berbahaya boleh menjangkiti folikel dan menyebabkan kulit di sekitarnya menjadi merah dan berdenyut lalu mengeluarkan nanah, yang membawa kepada benjolan,” ujarnya.

Jelasnya, kebanyakan individu menganggap jerawat amat mengganggu kehidupan seharian mereka kerana menyakitkan serta memburukkan penampilan, malah jerawat yang teruk mungkin mengalami parut kekal dan mahu segera menanganinya.
Katanya, terdapat pelbagai pilihan rawatan dan produk kosmetik yang boleh digunakan untuk membantu masalah jerawat namun masing-masing perlu mengetahui dahulu jenis kulit sama ada bersesuaian dengan kulit masing-masing atau tidak kerana pengeluaran sebum dan minyak adalah berbeza pada setiap orang.

Parut jerawat boleh ditangani
Ujar Dr. Lim Ing Kien, selepas merawat jerawat, individu terpaksa pula berdepan dengan masalah parut kerana kurangnya produk yang boleh merawat parut kecuali produk yang menghilangkan parut luka. “Penampilan wajah merupakan salah satu aspek signifikasi bagaimana mereka membawa diri di khalayak ramai yang boleh memberikan implikasi kepada kehidupan seharian.

“Jika sebelum ini mereka terpaksa berjuang memulihkan jerawat, bagi sesetengah orang yang tidak bernasib baik, mereka terpaksa merawat parut bekas jerawat yang lebih memudaratkan kerana bersifat kekal tanpa sebarang rawatan,” katanya yang menyenaraikan beberapa jenis parut selepas jerawat seperti ice pick, keloid, boxcar, rolling, dan hypertrophic.
Katanya, untuk memulihkan parut selepas jerawat, individu boleh menggunakan produk-produk yang mengandungi kandungan lidah buaya, vitamin E, dan allantain bagi mengurangkan parut atau merujuk masalah mereka kepada dermatologi jika parut masih tidak hilang selepas penggunaan selama empat minggu.

Dalam pada itu, Perunding Psikologi Klinikal Persatuan Psikiatri Malaysia, Low Mi Yen berkata, mengikut kajian yang telah dilakukan oleh Indeks Kecacatan Jerawat Cardiff (CARDI), 90 peratus rakyat Malaysia dalam lingkungan usia 13 hingga 18 tahun terbeban dengan masalah jerawat yang teruk di mana mereka berisiko tinggi untuk menghadapi masalah parut.

Menurutnya, apabila masalah parut tidak ditangani, seseorang individu itu boleh terjejas dengan tekanan psikologi dari segi pemikiran, emosi, dan sikap malah dari segi tekanan sosial pula akan mengganggu hubungan kemahiran interpersonal serta merosotkan prestasi kerja seseorang.

“Walaupun parut dianggap sebagai sesuatu yang tidak berbahaya, tetapi tetap dikategorikan sebagai salah satu masalah kesihatan yang memerlukan perhatian perubatan kerana kebanyakan individu yang mempunyai parut menganggap kewujudannya sebagai sesuatu yang hodoh dan menyebabkan rasa rendah diri untuk menjalani kehidupan normal,” katanya.
Jelasnya, setiap orang mungkin mempunyai pengalaman yang berbeza dalam berhadapan dengan masalah parut.
Sebagai contoh, mereka merasa tidak selesa untuk menghadiri perjumpaan sosial kerana cenderung untuk mengasingkan diri kerana keyakinan yang rendah.

Bagi Mi Yen, amat penting bagi setiap orang mengetahui bahawa parut bukanlah pengakhiran hidup mereka kerana ia masih boleh ditangani.

“Apabila masalah parut mula mengganggu mental individu, sokongan orang sekeliling amat penting bagi membantu mereka mencari jalan penyelesaian. Ada saluran-saluran bantuan yang boleh dicadangkan kepada mereka untuk terus pulih seperti mendapatkan rawatan dengan doktor pakar atau menggunakan produk yang bersesuaian dengan parut mereka,” katanya.

Read more: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/parut-jerawat-gugat-keyakinan-1.310329#sthash.IGCDkDPw.dpuf